Wednesday, June 27, 2012

Sebatian

Sebatian (compounds) terbentuk apabila dua atau lebih jenis unsur (element) bergabung secara kimia (combine chemically).

Zarah terkecil dalam suatu sebatian adalah molekul (molecule). Contoh: Air (water) adalah suatu sebatian. Molekul air terdiri daripada dua atom hidrogen dan satu atom oksigen yang bergabung secara kimia.

Keterangan di bawah menunjukkan beberapa jenis sebatian serta komponen-komponennya.
  • Karbon dioksida (Carbon dioxide)

    Komponen: Satu atom karbon, dua atom oksigen.

  • Natrium klorida (Sodium chloride)

    Komponen: Satu atom natrium, satu atom klorin.


  • Benzena (Benzene)

    Komponen: Enam atom karbon, enam atom hidrogen.


  • Metana (Methane)

    Komponen: Satu atom karbon, empat atom hidrogen.


  • Ammonia

    Komponen: Satu atom nitrogen, tiga atom hidrogen.


  • Air (Water)

    Komponen: Satu atom oksigen, dua atom hidrogen.

Komponen-komponen sebatian tersebut tidak boleh dipisahkan secara fizikal (cannot be physically separated).

Komponen-komponen dalam suatu sebatian hanya boleh dipisahkan secara kimia, sebagai contoh, dengan menggunakan haba yang tinggi (pemanasan) atau menggunakan tenaga elektrik (elektrolisis).


Memecahkan (breaking down) sebatian dengan pemanasan
  1. Memecahkan sebatian gula (sugar)

    Satu sudu gula dimasukkan ke dalam tabung uji yang kering dan dipanaskan dengan kuat (heated strongly).

    Pemerhatian:
    1. Gula berwarna putih sebelum pemanasan.
    2. Semasa pemanasan pepejal hitam (karbon) terbentuk.
    3. Selepas pemanasan dan dibiarkan sejuk, titisan air terpeluwap (condense) pada dinding tabung uji.

    Kesimpulan:
    Gula dipecahkan kepada karbon (unsur) dan air (sebatian) apabila dipanaskan.

  2. Memecahkan sebatian merkuri oksida (mercury oxide)

    Sedikit merkuri oksida (mercury oxide) dimasukkan ke dalam tabung uji yang kering dan dipanaskan.

    Pemerhatian:
    1. Merkuri oksida berwarna kuning sebelum pemanasan.
    2. Semasa pemanasan, gas yang dilepaskan didapati boleh menyalakan kayu uji berbara.
    2. Merkuri berwarna perak (silver) terbentuk pada dinding tabung uji.

    Kesimpulan:
    Merkuri oksida dipecahkan kepada merkuri (unsur) dan oksigen (unsur) apabila dipanaskan.

Memecahkan (breaking down) sebatian dengan elektrolisis
  1. Memecahkan sebatian air tulen (pure water)
    Pemerhatian:
    Gas tidak berwarna dikumpulkan ke dalam kedua-dua tabung uji, P dan Q. Gas dalam P menyalakan kayu uji berbara, manakala gas dalam Q menghasilkan bunyi 'pop' apabila diuji dengan kayu uji yang menyala.

    Kesimpulan:
    Air adalah sebatian daripada unsur oksigen dan unsur hidrogen. Pemecahan air oleh arus elektrolisis menghasilkan gas oksigen dalam P tiub dan gas hidrogen dalam tiub Q.

  2. Memecahkan sebatian kuprum (II) klorida (copper (II) chloride)
    Pemerhatian:
    Gas berwarna kuning kehijauan (greenish-yellow) dan berbau sengit (pungent smell) dikeluarkan pada elektrod positif. Mendakan kuprum berwarna perang kemerahan (reddish brown copper precipitate) didapati terhasil pada elektrod negatif.

    Kesimpulan:
    Sebatian kuprum (II) klorida dipisahkan kepada unsur-unsurnya, iaitu klorin (gas berwarna kuning kehijauan) dan kuprum (pepejal berwarna perang kemerahan) apabila arus elektrik melaluinya.

6 comments: