Wednesday, May 18, 2016

Sistem Pencernaan Manusia

Sistem pencernaan manusia (human digestive system) terdiri daripada satu tiub yang disebut salur pencernaan (alimentary) dan beberapa organ lain seperti hati (liver) dan pankreas (pancreas).

Salur pencernaan (alimentary canal) terdiri daripada mulut, esofagus, perut, usus kecil, usus besar, rektum dan dubur (bermula daripada mulut hingga ke dubur).

Sistem pencernaan manusia.

Makanan yang ditolak sepanjang salur pencernaan oleh otot dinding yang mengecut dan mengendur secara bersilih ganti melalui proses peristalsis.

Pergerakan peristalsis.


Mulut

Pencernaan makanan bermula di mulut. Makanan dikunyah oleh gigi menjadi cebisan kecil untuk membekalkan luas permukaan yang besar untuk tindakan air liur.

Kelenjar air liur merembeskan air liur yang bersifat alkali dan mempunyai enzim amilase liur (ptialin).

Amilase liur mencernakan kanji kepada maltosa (sejenis gula).



Esofagus

Makanan ditolak menuruni esofagus (oesophagus) ke dalam perut oleh otot-otot dinding esofagus yang mengecut dan mengendur secara bersilih ganti.

Proses pengecutan dan pengenduran (contraction and relaxation) ini disebut peristalsis.

Tiada pencernaan berlaku di esofagus kerana tiada enzim percernaan dirembeskan.


Perut

Makanan dicampurkan dengan jus gaster (gastric juices) di dalam perut yang dirembeskan oleh sel-sel dinding perut.

Jus gaster mengandungi asid hidroklorik, air dan protease. Pepsin adalah sejenis protease (enzim pencerna protein) yang terdapat di dalam perut.

Fungsi asid hidroklorik dalam perut adalah termasuk:
  • Menyediakan medium berasid untuk tindakan enzim.
  • Membunuh bakteria dalam makanan.
  • Meneutralkan sifat alkali air liur dan menghentikan tindakan enzim amilase liur.

Enzim pepsin mencernakan protein kepada pepton.


Enzim renin menggumpalkan susu dalam perut bayi untuk memudahkan tindakan enzim pepsin.



Usus kecil

Kebanyakan pencernaan berlaku di dalam usus kecil (small intestine).

Makanan yang bergerak ke dalam usus kecil bercampur dengan
  • Rembesan daripada hati (liver).
  • Enzim daripada pankreas dan usus kecil.

Duodenum ialah bahagian pertama usus kecil. Duodenum menerima hempedu dan jus pankreas.

Hempedu (bile) dihasilkan oleh hati (liver) dan disimpan di dalam pundi hempedu (gall bladder). Hempedu disalurkan ke duodenum melalui duktus hempedu (bile duct). 

Hempedu berfungsi untuk:
  • Membaurkan (emulsification) lemak, iaitu memecahkan titisan besar lemak kepada titisan kecil untuk tindakan enzim.
  • Menyediakan medium beralkali untuk tindakan enzim.

Jus pankreas yang dihasilkan oleh sel pankreas mempunyai tiga jenis enzim, iaitu enzim amilase pankreas, enzim protease dan enzim lipase.

Enzim amilase pankreas mencernakan kanji kepada maltosa.


Enzim protease mencernakan pepton kepada asid amino.


Enzim lipase mencernakan lemak kepada asid lemak dan gliserol.


Usus kecil (ileum) menghasilkan enzim maltase yang mencernakan maltosa kepada glukosa (gula ringkas).

Pencernaan makanan lengkap di usus kecil. Makanan yang tercerna sedia diserap masuk melalui dinding usus kecil ke dalam aliran darah.


Usus besar

Air diserap semula dalam usus besar (kolon). Bahan makanan yang tidak tercerna disingkirkan dari badan melalui dubur (anus) sebagai najis (faeces).

11 comments: