Tuesday, March 10, 2015

Saling Bersandaran Antara Hidupan Mewujudkan Satu Ekosistem Yang Seimbang

Pelbagai organisma hidup bersama dan saling bergantung antara satu sama lain untuk kemandirian (survival) hidup. Mereka berinteraksi (interact) antara satu sama lain dan dengan persekitaran untuk mewujudkan satu ekosistem yang seimbang.

Ekosistem yang seimbang (balanced ecosystem) merupakan ekosistem yang tidak banyak berubah dalam satu jangka masa. Saiz setiap populasi dikekalkan melalui sokongan daripada keperluan asas seperti oksigen, makanan, tempat tinggal dan pasangan.

Ekosistem yang seimbang membantu mengitarkan gas, air dan mineral. Ekosistem juga mengawal iklim.

Apabila populasi bertambah, organisma daripada spesis yang sama akan bersaing untuk keperluan asas. Organisma yang lebih lemah tidak dapat hidup lalu menyebabkan populasi berkurang.

Jika dirujuk kepada ekosistem sebuah tasik, didapati:
  • Tumbuhan akuatik memperoleh makanan daripada cahaya matahari semasa fotosintesis (photosynthesis).
  • Tumbuhan memperoleh karbon dioksida daripada pernafasan haiwan akuatik.
  • Haiwan memperoleh oksigen daripada tumbuhan yang membebaskan oksigen semasa fotosintesis.
  • Tumbuhan akuatik juga memperoleh mineral daripada tanah di dasar tasik.
  • Haiwan tidak dapat membuat makanan, tetapi bergantung kepada organisma lain sebagai makanannya. Haiwan memakan tumbuhan atau haiwan lain yang terdapat pada persekitarannya.
  • Sesetengah haiwan dalam tasik berpaut pada tumbuhan akuatik untuk tempat tinggal dan perlindungan. Haiwan tersebut berpaut pada bahagian tumbuhan seperti daun. Haiwan tersebut menyamarkan diri untuk menyesuaikan diri kepada wara bahagian tumbuhan tersebut.
  • Tumbuhan akuatik bergantung kepada benda bukan hidup dan organisma lain untuk pembiakan. Tumbuhan tersebut bergantung pada air, angin, serangga dan burung untuk pendebungaan dan pencaran.
  • Keadaan iklim dan kandungan air yang sesuai membantu sesetengah haiwan untuk mencari pasangan untuk membiak. Ketiadaan haiwan pemangsa dalam tasik meningkatkan peluang haiwan akuatik untuk hidup. Tumbuhan membekalkan peluang kepada haiwan untuk menempatkan anak dan telurnya.


Mikroorganisma seperti bakteria dalam tanah membantu menguraikan organisma yang mati dan membebaskan mineral ke dalam tanah. Mineral tersebut membekalkan nutrien kepada tumbuhan. Mikroorganisma tersebut merupakan pengurai.

Pengurai memainkan peranan penting dalam ekosistem dengan menguraikan organisma yang mati untuk mengembalikan gas dan mineral kepada persekitaran. Pengurai membantu membersihkan persekitaran.

Pergantungan antara organisma hidup dengan pesekitaran menghasilkan ekosistem yang seimbang. Kuantiti makanan, tempat tinggal, pasangan dan ruang membolehkan populasi berada dalam keadaan yang stabil. Oleh itu, bilangan pengurai mestilah mencukupi untuk membolehkan gas dan mineral kembali kepada persekitaran.

No comments:

Post a Comment