Thursday, May 21, 2015

Sifat-sifat Mineral

Kebanyakan mineral masih kekal wujud dan tidak berubah dalam kerak Bumi (Earth crust) kerana mineral biasanya keras (hard) dan tidak larut (do not dissolve) dalam air.

Sifat sesuatu mineral bergantung kepada kandungan dan susunan atom dalam mineral tersebut.

Sifat mineral boleh dibahagikan kepada:
  • Sifat fizik (physical characteristics) seperti warna, kekerasan, kekilauan, dan bentuk hablur.
  • Sifat kimia (chemical characteristics) seperti keterlarutannya dalam air, tindak balas secara kimia dan tindakan haba ke atasnya.

Mineral semula jadi
Warna
Hematit (hematite)
Perang
Malakit (malachite)
Hijau
Bauksit (bauxite)
Putih
Kasiterit (cassiterite)
Hitam
Galena
Kelabu
Pirit besi (iron pyrite)
Hitam
Batu kapur (limestone)
Putih
Warna-warna mineral.


Sifat Fizik Mineral

Mineral mempunyai warna yang berlainan.

Kekerasan (hardness) mineral merujuk kepada ketahanan terhadap hakisan (erosion) atau goresan (scratches).

Mineral yang keras dapat menggores mineral yang kurang keras.

Pada amnya, semua oksida, sulfida dan karbonat logam adalah mineral yang keras.

Kebanyakan mineral wujud dalam bentuk hablur (crystals). Setiap hablur mempunyai rupa bentuk yang sama.


Sifat Kimia Mineral

Kebanyakan mineral adalah tidak larut (do not dissolve) dalam air.

Mineral seperti oksida logam dan silikat biasanya tidak terurai (do not decompose) oleh haba.

Sesetengah mineral seperti karbonat dan sulfida logam mudah diuraikan dengan cara pemanasan. Tindakan haba dapat menguraikan sebatian itu kepada unsurnya atau sebatian lain.


Tindakan haba ke atas karbonat logam

Haba dapat menguraikan karbonat logam kepada oksida logam dan membebaskan karbon dioksida seperti yang ditunjukkan dalam persamaan berikut.

Sebagai contohnya,

Gas karbon dioksida yang terbebas dapat diuji dengan menggunakan air kapur (lime water). Air kapur akan menjadi keruh (cloudy) jika terdapatnya gas karbon dioksida.


Tindakan haba ke atas sulfida logam

Hampir semua sulfida logam terurai apabila dipanaskan untuk membebaskan gas sulfur dioksida dan membentuk oksida logam seperti persamaan berikut.


Sebagai contohnya,


Gas sulfur dioksida ialah gas berasid yang dapat diuji dengan
  • Larutan kalium manganat (VII) berasid. Gas ini melunturkan (bleaches) warna ungu (purple) larutan itu.
  • Larutan kalium dikromat (VI) berasid. Gas ini menukarkan warna jingga (orange-coloured) larutan kepada hijau (green).

Wednesday, May 20, 2015

Ginjal

Ginjal (kidneys) terletak di sebelah kiri dan kanan bahagian dinding belakang rongga abdomen.

Ginjal manusia berwarna merah tua (dark red) dan berbentuk seperti kacang (bean-shaped).

Struktur dalam ginjal dibahagi kepada:
  • Bahagian luar yang dinamakan korteks (cortex).
  • Bahagian dalam yang dinamakan medula (medulla).

Medula ginjal berbentuk piramid (pyramid-shaped).

Pelvis ginjal merupakan bahagian permulaan ureter.

Fungsi ginjal adalah termasuk:
  • Menyingkirkan air dan menapis garam mineral berlebihan daripada badan.
  • Mengawal kuantiti air dan garam mineral dalam badan.
  • Mengawal kepekatan darah.
  • Membantu menyingkirkan bahan-bahan bernitrogen seperti urea dan asid urik daripada badan.

Keratan membujur ginjal manusia.

Sistem Urinari Dalam Manusia

Sistem urinari (urinary system) adalah sebahagian daripada sistem perkumuhan (excretory system).

Sistem urinari terdiri daripada:
  • Sepasang ginjal.
  • Sepasang ureter.
  • Satu pundi kencing.
  • Uretra.
Ureter ialah satu salur yang menyambungkan ginjal (kidneys) dengan pundi kencing.

Pundi kencing (urinary bladder) ialah satu pundi yang menerima air kencing dari ginjal melalui ureter.

Apabila pundi kencing diisi penuh dengan air kencing, perasaan hendak membuang air kencing akan timbul.

Uretra (urethra) ialah satu salur yang menyambungkan pundi kencing dengan luar badan.

Arteri ginjal (renal artery) dan vena ginjal (renal vein) ialah dua jenis salur darah yang terdapat dalam sistem urinari.

Darah yang dibawa oleh arteri ginjal ke ginjal dituras (filtered) dan bahan buangan kemudiannya disingkirkan (eliminated) dari darah sebagai air kencing (urine).

Sistem urinari manusia.


Jadual di bawah menunjukkan  bahagian sistem urinari dan fungsinya.

Bahagian sistem urinari
Fungsi
Ginjal
Menapis darah dan menyalurkan air berlebihan, urea dan garam mineral dari darah untuk membentuk air kencing.
Ureter
Menyalurkan air kencing dari ginjal ke pundi kencing.
Pundi kencing
Menyimpan air kencing.
Uretra
Menyalurkan air kencing dari pundi kencing ke luar badan.
Arteri ginjal
Menyalurkan darah beroksigen ke ginjal
Vena ginjal
Mengangkut darah terdeoksigen (deoxygenated) keluar dari ginjal.

Tuesday, May 12, 2015

Vitamin

Vitamin ialah bahan organik yang penting untuk pertumbuhan sihat.

Vitamin diperlukan dalam kuantiti yang sedikit.

Kekurangan vitamin boleh mengakibatkan penyakit.

Pengambilan vitamin yang berlebihan juga boleh mempengaruhi kesihatan kita secara negatif.

Terdapat dua kelas utama vitamin:
  1. Vitamin larut air.
  2. Vitamin larut lemak.
Vitamin A, D, E dan K adalah vitamin yang larut lemak. Vitamin tersebut larut dalam lemak dan tersimpan dalam tisu lemak badan dan dibebaskan secara perlahan-lahan.

Vitamin B dan C pula adalah vitamin yang larut air.


Vitamin yang berlebihan dikeluarkan daripada badan. Oleh itu, pengambilan secara tetap adalah diperlukan.

Vitamin tidak membekalkan tenaga.

Pengambilan vitamin yang tidak mencukupi dalam makanan boleh menyebabkan kekurangan vitamin dan mengakibatkan penyakit kekurangan zat makanan.

Kebanyakan vitamin dimusnahkan oleh haba melalui masakan.

Jadual di bawah menunjukkan sumber utama, fungsi dan kesan kekurangan vitamin.

Vitamin
Sumber Utama
Fungsi
Kesan kekurangan
A
Susu, telur, sayuran hijau, ikan, lobak, tomato.
a) Memelihara kesihatan mata dan kulit.
b) Menggalakkan pertumbuhan.
a)Rabun malam.
b) Kulit kering dan bersisik.
c) Pertumbuhan terbantut.
B
Hati, kacang, susu, telur, bijirin, yis, sayuran hijau.
a) Mengawal pembebasan tenaga daripada karbohidrat.
b) Memelihara fungsi sistem saraf.
a) Penyakit beri-beri.
b) Penyakit saraf.
C
Buah-buahan sitrus, tomato, betik, jambu, sayuran.
a) Memelihara kesihatan gusi, gigi dan kulit.
b) Meningkatkan rintangan terhadap penyakit.
c) Meningkatkan penyerapan besi dalam badan.
a) Penyakit skurvi (gusi mudah berdarah).
b) Anemia.
D
Ikan, telur, susu, hati.
Meningkatkan penyerapan kalsium dan fosforus yang diperlukan untuk membina tulang dan gigi yang kuat.
a) Penyakit riket.
b) Kecacatan tulang rangka.
c) Kerosakan gigi.
E
Sayuran hijau, bijirin, minyak kelapa sawit, minyak zaitun.
Memelihara fungsi sistem pembiakan.
Kemandulan.
K
Sayuran hijau, hati, kuning telur.
Membantu dalam pembekuan darah.
Darah lambat atau tidak membeku.

Sunday, May 10, 2015

Tenaga Geoterma

Tenaga geoterma berasal dari bahagian dalam Bumi.

Geo bermaksud Bumi, manakala terma bermaksud haba.

Stesen penjana elektrik geoterma biasanya dibina di negara yang mempunyai geiser yang memancutkan stim dari bahagian dalam Bumi, contohnya di New Zealand.

Di stesen penjana ini, paip dibina dari bahagian dalam Bumi untuk menyalurkan stim ke permukaan Bumi.

Tekanan tinggi stim digunakan untuk memutarkan turbin (turbine) dan seterusnya ke penjana elektrik (generator) untuk menjana tenaga elektrik (electricity).

Tenaga geoterma (geothermal energy) juga digunakan untuk memanaskan rumah dan kilang.


Sunday, May 3, 2015

Menghasilkan Cas Elektrik Statik

Cas elektrik statik (static electric charges) dapat dihasilkan pada objek yang neutral dengan menggosokkannya dengan satu bahan yang lain seperti kain berbulu (woollen cloth) atau kain sutera (silk cloth).

Apabila dua bahan yang berlainan digosok, pemindahan elektron (transfer of electrons) berlaku. Salah satu bahan menerima elektron (receives electrons), manakala satu bahan lagi kehilangan elektron (loses electrons).

Mengecas suatu bahan dengan cara menggosok.

Bahan yang menerima elektron menjadi bercas negatif kerana mempunyai lebih banyak elektron daripada proton.

Bahan yang kehilangan elektron menjadi bercas positif kerana mempunyai lebih banyak proton daripada elektron.

Suatu objek adalah neutral jika bilangan cas positif (proton) dan cas negatif (elektron) adalah sama.

Contoh bahan yang mudah dicaskan ialah selulosa asetat (cellulose acetate) dan politena (polythene).

Jenis cas yang terhasil bergantung pada jenis bahan yang digosok bersama-samanya.

Objek yang bercas dapat menarik objek yang tidak bercas.

Bahan dicas positif
Bahan dicas negatif
Kaca
Kain sutera
Selulosa asetat
Kain sutera, kain bulu
Kain sutera
Getah keras
Getah (belon)
Nilon
Kain bulu
Getah (belon), politena
Bahan yang dicas positif dan negatif selepas digosokkan bersama.