Sunday, March 29, 2015

Kepentingan Kestabilan

Sesuatu objek yang stabil harus mempunyai pusat gravity yang rendah (low centre of gravity) dan tapak yang luas (large base area).

Kedudukan pusat graviti sesuatu objek boleh direndahkan dengan:
  1. Merendahkan objek tersebut.
  2. Menjadikan objek tersebut berat dibahagian bawahnya.

Contoh aplikasi kestabilan (application of stability) dalam kehidupan harian adalah:
  • Kereta lumba adalah berat, mempunyai pusat graviti yang rendah, dan tapak yang sangat luas.
  • Ahli sukan angkat berat mengangkangkan kakinya untuk meluaskan keluasan tapaknya (wide base).
  • Kerusi, meja, katil, almari ialah alat-alat yang mempunyai pusat graviti yang rendah dan tapak yang luas.
  • Penumpang dalam perahu tidak digalakkan/dibenarkan berdiri supaya pusat graviti dapat direndahkan.
  • Kapal atau perahu kosong sengaja dipenuhi dengan benda-benda yang berat sebelum belayar.
  • Penumpang dalam bas dua tingkat dinasihatkan supaya memenuhi ruang di tingkat bawah bas terlebih dahulu dan dilarang berdiri di tingkat atas bas.
  • Kenderaan berat dibina daripada bahan-bahan yang berat. Pusat graviti dapat direndahkan dengan memasang enjin yang berat di bahagian bawah kenderaan.
  • Haiwan yang berbadan besar seperti badak sumbu dan gajah mempunyai kaki yang besar dan pendek untuk merendahkan pusat graviti.
  • Haiwan yang merangkak mempunyai pusat graviti yang rendah dan tapak yang luas.
  • Orang tua menggunakan tongkat untuk menambah keluasan tapak.
  • Pendaki membongkokkan badan semasa mendaki bukit untuk merendahkan pusat graviti.
  • Basikal atau motorsikal dengan roda tambahan adalah lebih stabil kerana mempunyai keluasan tapak yang lebih besar.

Zirafah mengangkangkan kaki semasa meragut rumput 
dan meminum air untuk merendahkan pusat gravitinya 
dan menambahkan luas tapak.

Tuesday, March 10, 2015

Saling Bersandaran Antara Hidupan Mewujudkan Satu Ekosistem Yang Seimbang

Pelbagai organisma hidup bersama dan saling bergantung antara satu sama lain untuk kemandirian (survival) hidup. Mereka berinteraksi (interact) antara satu sama lain dan dengan persekitaran untuk mewujudkan satu ekosistem yang seimbang.

Ekosistem yang seimbang (balanced ecosystem) merupakan ekosistem yang tidak banyak berubah dalam satu jangka masa. Saiz setiap populasi dikekalkan melalui sokongan daripada keperluan asas seperti oksigen, makanan, tempat tinggal dan pasangan.

Ekosistem yang seimbang membantu mengitarkan gas, air dan mineral. Ekosistem juga mengawal iklim.

Apabila populasi bertambah, organisma daripada spesis yang sama akan bersaing untuk keperluan asas. Organisma yang lebih lemah tidak dapat hidup lalu menyebabkan populasi berkurang.

Jika dirujuk kepada ekosistem sebuah tasik, didapati:
  • Tumbuhan akuatik memperoleh makanan daripada cahaya matahari semasa fotosintesis (photosynthesis).
  • Tumbuhan memperoleh karbon dioksida daripada pernafasan haiwan akuatik.
  • Haiwan memperoleh oksigen daripada tumbuhan yang membebaskan oksigen semasa fotosintesis.
  • Tumbuhan akuatik juga memperoleh mineral daripada tanah di dasar tasik.
  • Haiwan tidak dapat membuat makanan, tetapi bergantung kepada organisma lain sebagai makanannya. Haiwan memakan tumbuhan atau haiwan lain yang terdapat pada persekitarannya.
  • Sesetengah haiwan dalam tasik berpaut pada tumbuhan akuatik untuk tempat tinggal dan perlindungan. Haiwan tersebut berpaut pada bahagian tumbuhan seperti daun. Haiwan tersebut menyamarkan diri untuk menyesuaikan diri kepada wara bahagian tumbuhan tersebut.
  • Tumbuhan akuatik bergantung kepada benda bukan hidup dan organisma lain untuk pembiakan. Tumbuhan tersebut bergantung pada air, angin, serangga dan burung untuk pendebungaan dan pencaran.
  • Keadaan iklim dan kandungan air yang sesuai membantu sesetengah haiwan untuk mencari pasangan untuk membiak. Ketiadaan haiwan pemangsa dalam tasik meningkatkan peluang haiwan akuatik untuk hidup. Tumbuhan membekalkan peluang kepada haiwan untuk menempatkan anak dan telurnya.


Mikroorganisma seperti bakteria dalam tanah membantu menguraikan organisma yang mati dan membebaskan mineral ke dalam tanah. Mineral tersebut membekalkan nutrien kepada tumbuhan. Mikroorganisma tersebut merupakan pengurai.

Pengurai memainkan peranan penting dalam ekosistem dengan menguraikan organisma yang mati untuk mengembalikan gas dan mineral kepada persekitaran. Pengurai membantu membersihkan persekitaran.

Pergantungan antara organisma hidup dengan pesekitaran menghasilkan ekosistem yang seimbang. Kuantiti makanan, tempat tinggal, pasangan dan ruang membolehkan populasi berada dalam keadaan yang stabil. Oleh itu, bilangan pengurai mestilah mencukupi untuk membolehkan gas dan mineral kembali kepada persekitaran.

Sunday, March 1, 2015

Pembiakan Seks

Pembiakan seks (sexual reproduction) adalah satu proses penghasilan individu baru melalui percantuman antara satu sel pembiakan jantan (gamet jantan) dengan satu sel pembiakan betina (gamet betina).

Semasa pembiakan seks, nukleus kedua-dua sel pembiakan jantan dan betina bercantum melalui persenyawaan (fertilisation) dan zigot (zygote) terhasil. Zigot ini akan berkembang membentuk individu baru.

Pembiakan seks.

Organisma yang melakukan pembiakan seks termasuk manusia, semua haiwan vertebrata, serangga, dan kebanyakan tumbuhan berbunga.

Individu baru yang dihasilkan mempunyai sifat yang berlainan daripada induknya.


Persenyawaan

Persenyawaan (fertilisation) adalah satu proses percantuman antara gamet jantan dengan gamet betina untuk menghasilkan zigot.

Terdapat dua jenis persenyawaan, iaitu:
  1. Persenyawaan dalam (internal fertilisation).
  2. Persenyawaan luar (external fertilisation).

Ciri-ciri persenyawaan dalam:
  • Berlaku di dalam badan haiwan betina.
  • Haiwan jantan memasukkan sel pembiakan jantan ke dalam sistem pembiakan haiwan betina untuk persenyawaan berlaku.
  • Persenyawaan dalam berlaku pada mamalia, reptilia, burung dan serangga.

Ciri-ciri persenyawaan luar:
  • Berlaku di luar badan haiwan betina.
  • Ovum dan sperma masing-masing dihasilkan oleh haiwan betina dan haiwan jantan pada masa yang sama ke dalam air untuk persenyawaan berlaku.
  • Persenyawaan luar berlaku pada ikan, katak dan kodok.

Kelemahan persenyawaan luar ialah:
  • Banyak sel pembiakan perlu dihasilkan.
  • Banyak sel pembiakan mati sebelum berlakunya persenyawaan.
  • Banyak ovum dan sperma dibazirkan kerana dihanyutkan oleh air.
  • Zigot dan embrio yang terhasil mungkin dimakan oleh haiwan yang lain.

Dalam persenyawaan dalam, haiwan jantan memasukkan gamet jantan ke dalam badan haiwan betina. Hal ini meninggikan peluang bagi persenyawaan berlaku.

Pembiakan

Pembiakan (reproduction) adalah proses yang berlaku pada organisma hidup untuk menambah bilangan zuriat supaya spesiesnya tidak menjadi pupus.

Terdapat dua jenis pembiakan, iaitu:

  1. Pembiakan aseks (asexual reproduction)