Sunday, January 20, 2013

Pusat Graviti Sebagai Titik Keseimbangan Objek


Titik keseimbangan (point of equilibrium) sesuatu objek adalah titik di mana keseluruhan berat objek bertindak untuk mengimbangi kedudukan objek tersebut.

Pusat graviti (centre of gravity) objek adalah titik keseimbangan sesuatu objek. Ini adalah kerana pada titik ini;
  • Objek akan disokong dalam keadaan keseimbangan.
  • Berat keseluruhan objek seolah-olah untuk bertumpu di titik ini.

Kedudukan pusat graviti bergantung kepada bentuk sesuatu objek (shape of the object).

Pusat graviti objek bagi berbentuk sekata atau simetri (symmetrical):
  • Terletak di tengah-tengah atau di titik simetri objek tersebut.
  • Boleh ditentukan dengan melukis garis pepenjuru atau garisan simetri.
  • Titik persilangan pepenjuru ialah pusat graviti objek tersebut.

Pusat graviti bagi objek berbentuk sekata.

Pusat graviti bagi objek yang berbentuk tidak sekata (irregular-shaped):
  • Boleh ditentukan dengan menggunakan bandul.
  • Pusat graviti bagi objek tidak sekata adalah pada titik persilangan, titik pergantungan objek tersebut (titik persilangan beberapa garisan menegak yang terbentuk apabila tali pemberat/ladung bandul digantung bebas).

Pusat graviti bagi objek berbentuk tidak sekata.

Pusat graviti bagi objek sekata juga boleh ditentukan dengan menggunakan kaedah yang sama seperti yang digunakan pada objek yang tidak sekata.

Pusat graviti bagi objek tidak sekata mungkin terletak di dalam atau di luar objek tersebut. Sebagai contoh, objek yang berbentuk L.

Pusat graviti bagi objek berbentuk L.

Thursday, January 10, 2013

Sistem Sokongan Haiwan


Pelbagai sistem sokongan

Manusia dan haiwan mempunyai sistem sokongan mereka yang unik.

Sistem sokongan yang baik membolehkan sesuatu organisma itu untuk bergerak dengan lebih lancar dan cekap (efficiently).

Sistem sokongan pada manusia dan haiwan terdiri daripada tisu rangka (skeletal tissue) yang diperbuat daripada bahan-bahan seperti kalsium (calcium).

Rangka (skeleton) adalah suatu struktur yang keras dan kekal dalam haiwan multisel. Sistem rangka (skeletal system) bertindak sebagai sistem sokongan yang penting kepada haiwan.

Sistem sokongan terbahagi kepada tiga jenis:
  1. Endoskeleton.
  2. Eksoskeleton (exoskeleton).
  3. Rangka hidrostatik (hydrostatic skeleton).


Endoskeleton

Endoskeleton ialah struktur sokongan yang berada di dalam badan vertebrata (vertebrates).

Fungsi endoskeleton adalah:
  • Menyokong berat badan.
  • Memberikan bentuk kepada badan.
  • Melindungi organ dalaman badan.
  • Menyediakan permukaan untuk pelekatan otot.
  • Bekerjasama dengan otot untuk membenarkan pergerakan badan.

Ikan - Vertebrata yang memiliki endoskeleton.


Eksoskeleton

Eksoskeleton ialah struktur keras yang meliputi bahagian luar badan haiwan invertebrata (invertebrates).

Fungsi eksoskeleton adalah:
  • Menyokong dan memberikan bentuk kepada haiwan.
  • Melindungi tisu badan yang lembut daripada kecederaan.
  • Mengelakkan badan daripada kekeringan.
  • Menyediakan permukaan untuk pelekatan otot dan membenarkan pergerakan.

Semut - Invertebrata yang memiliki eksoskeleton.


Rangka hidrostatik

Rangka hidrostatik mengandungi cecair yang disimpan di bawah tekanan, di dalam rongga badan yang tertutup haiwan invertebrata.

Fungsi rangka hidrostatik adalah:
  • Mengekalkan dan mengawal bentuk badan.
  • Membenarkan pergerakan.

Obor-obor - Invertebrata yang memiliki rangka hidrostatik.

Friday, January 4, 2013

Daya


Daya (force) merupakan tolakan (push) atau tarikan (pull) yang bertindak ke atas sesuatu objek.

Aksi seperti mengangkat, regangan, berpusing dan menekan adalah melibatkan tolakan dan tarikan.


Pelbagai jenis daya

Daya adalah suatu tindakan yang boleh mengubah kedudukan objek pegun (tidak bergerak) atau objek yang bergerak di dalam garis lurus.

Daya tidak boleh dilihat atau dirasai tetapi kehadirannya boleh diperhatikan sebagai kesan-kesan daya (effects of force).

Daya boleh wujud dalam pelbagai bentuk, seperti:


Daya geseran 

Daya geseran (frictional force) adalah suatu daya yang menentang gerakan antara dua objek yang bersentuhan.

Daya geseran boleh;
  • memperlahankan objek yang sedang bergerak. 
  • memberhentikan objek yang sedang bergerak.
  • mengelakkan sesebuah objek pegun daripada bergerak.
Daya geseran bertindak menentang arah gerakan objek. Sebagai contoh, daya geseran antara permukaan jalan dan tayar motorsikal membolehkan sesebuah motosikal itu untuk bergerak di atas jalan raya.



Daya graviti

Daya graviti (gravitational force) ialah daya yang tertarik ke pusat bumi. Daya ini menyebabkan semua benda yang dilambung akan jatuh semula ke bawah.



Daya elektrik

Daya elektrik dihasilkan apabila elektron (cas negatif) bergerak melalui satu konduktor.



Daya elektrostatik

Daya elektrostatik (electrostatic force) adalah disebabkan oleh cas yang terbentuk pada objek yang telah digosok. Objek dengan cas yang sama akan menolak antara satu sama lain, manakala objek dengan cas yang berbeza akan menarik antara satu sama lain.



Daya magnet

Daya magnet (magnetic force) ialah daya tarikan antara magnet dan bahan-bahan magnetik seperti paku. Daya magnet tinggi pada kedua-dua kutub utara dan selatan. Magnet dengan kutub yang sama akan menolak antara satu sama lain, manakala magnet dengan kutub yang berbeza akan saling menarik.



Daya elektromagnet

Daya elektromagnet (electromagnetic force) adalah magnet yang dibuat dengan memagnetkan sekeping teras feromagnet dengan membenarkan arus elektrik mengalir melalui gegelung konduktor sekeliling teras tersebut.

Elektromagnet boleh menarik bahan magnet seperti keluli dan besi selagi mana arus elektrik dibekalkan.

Daya elektromagnet digunakan untuk menarik besi berat.

Daya elektromagnet juga digunakan untuk mengendalikan keretapi Maglev (Maglev train) untuk mengurangkan geseran antara keretapi dan rel besi di bawahnya.